DEMONSTRASI BANTAH JUDI BOLA !!!!!!!!!!!

Khas Untuk Seorang Pejuang

Selasa, 23 Februari 2010

MAULIDURRASUL DENGAN DALIL-DALIL YANG NYATA



بسم الله الَّرحمن الَّر حيم

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Sayyidina Muhammad, Keluarga dan Sahabatnya sekalian…
Kami kemukakan dalil-dalil bagi masalah Maulidurrasul di dalam risalah ini, supaya dapat memberi penjelasan yang terang bagi sekalian kaum muslimin daripada terpesong dengan mereka yang membid’ahkan amalan ini. Mudah-mudahan Allah memberi manfaat dengannya, Amin…

DALIL SUNAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL DI SISI ULAMA’ AHLI SUNNAH.

1. Merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. termasuk daripada perkara yang membesarkan dan memuliakan baginda. Dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya. Firman Allah Ta’ala:
“Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya dan mengikuti cahaya (Al-Qur’an) yang diturunkan bersamanya, mereka itulah yang mendapat kejayaan.” (Surah Al-A’araf : ayat 157).

2. Firman Allah Ta’ala: “Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya.” (Al-Haj : 32).
Dimaksudkan dengan “tanda-tanda Allah” (شعائر الله جمع شعيرة أو شِعارة) pada umum ayat ini, iaitu setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad s.a.w dan menyambut Maulidurrasul itu adalah membesarkan tanda Allah, termasuk dalam menjunjung perintahNya.

3. Meriwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya, begitu juga Ismaili dan Abdul Razak bahawa diringankan azab ke atas Abi Lahab pada hari Isnin kerana memerdekakan ‘Suwaibah’ iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi s.a.w.Hadis ini menunjukkan bahawa:

1. Sesiapa yang menzahirkan kegembiraannya dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah, diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kafir, seteru kepada Nabi s.a.w diringankan azabnya, apatah lagi orang yang muslim. Seperti yang dikatakan oleh Al-Hafiz Nasiruddin Ibnu Syamsuddin Ad-Dimasyqi dan Imam Al-Qurra Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Al-Jazri.
2. Dianjurkan memulia dan membesarkan Nabi s.a.w dengan mengambil sempena hari kelahirannya. Hari kelahiran Baginda merupakan ‘Hari Kebesaran Islam’ dan hari yang mempunyai kelebihan. Diriwayatkan daripada Qatadah Al-Ansari: “Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari Isnin, berkata Nabi s.a.w: “Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian ke atasku.”(Riwayat Muslim dan lainnya.)
3. Membuat perkara-perkara kebaikan (difahami daripada memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa hari Isnin dan hadis berpuasa hari A’syura yang akan datang) sempena memuliakan hari kelahiran Nabi s.a.w seperti berhimpun dengan membaca Al-Qur’an, berselawat, memuji Nabi, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir miskin dan lain-lain.


4. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa hari A’syura lalu baginda bertanya, mereka menjawab: “Ianya hari yang Allah menenggelamkan Fir’aun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah Ta’ala.”Lalu Nabi berkata: “Kami terlebih utama dengan Musa…”.
Diambil pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah. Menyambut Maulidurrasul adalah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam ini. Ini kerana, sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya Nabi kita s.a.w sebagaimana berkata Ibnu Hajar Al-Haitami, Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqolani, Suyuti dan lain-lain.
Firman Allah Ta’ala: “Katakanlah kepada kaummu, dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, maka dengan demikian itu (kurniaan dan rahmat), hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” (Yunus:58)FirmanNya: “Tidaklah kami mengutuskan engkau ya Muhammad melainkan kerana rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa’:107)

5. Memperingati dan membesarkan Maulidurrasul dengan selawat, membaca kisahnya, merupakan perantaraan kepada mencintai Nabi dan mencintai Allah. “Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga adalah aku terlebih dikasihinya daripada dirinya, hartanya, anaknya dan sekalian manusia.”(Al-Hadis). Firman Allah Ta’ala: “Katakanlah kepada kaummu, jika sekiranya kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu.” (Ali-Imran:31).

KESIMPULAN

I) Menyambut hari kelahiran Rasulullah disabitkan dengan dalil-dalil syara’.
II) Disunatkan memperingati Maulidurrasul pada bila-bila masa, terlebih utama lagi sempena hari kelahirannya.
III) Membesarkan Nabi bersempena hari kelahirannya yang merupakan salah satu hari kebesaran Islam.
IV) Menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas sebesar-besar nikmat dan rahmat Allah iaitu kelahiran baginda dengan mengerjakan amalan-amalan kebaikan.
V) Menyambut hari kebesaran ini membawa kepada mencintai Nabi dan mencintai Allah.
VI) Mendapat ganjaran yang besar di dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya.

2
Orang yang pertama merayakan Maulid ialah Sultan Ibnu Malik Al-Muzzaffar, seorang wali Allah, raja yang adil, warak , zuhud dan alim. Menghadiri majlis Maulidnya ulama’-ulama’ muktabar dan orang-orang soleh dengan ketiadaan mengingkarinya, sehinggakan ulama’ besar yang bernama As-Syeikh Abu Khatab Ibnu Dihyah telah mengarang bagi sultan itu, kitab At-Tanwir membicarakan tentang amalan Maulid. (Lihat Al-Hawi Lil Fatawi bagi Suyuti.)
Berkata As-Sakhawi: “Sesungguhnya amalan Maulid berlaku kemudian daripada kurun ketiga iaitu tiga ratus tahun daripada Hijrah, selepas itu sentiasalah umat Islam pada setiap negeri mengamalkannya…….”
Oleh itu, amalan Maulidurrasul ini adalah ijma’ muslimin yang tidak diingkari bahkan disokongi oleh ulama’ Ahli Sunnah sejak pertama kali diadakan hingga sekarang. Tidak berhimpun ulama’ dan seluruh muslimin yang sempurna imannya, pada kesesatan. Sabda Nabi: “Tidak berhimpun umatku di atas kesesatan.” Sabdanya lagi: “Sesuatu perkara yang dipandang baik oleh muslimin maka ianya di sisi Allah adalah kebaikan.”

DALIL SATU PERSATU AMALAN YANG DILAKUKAN DI DALAM MAULID.

I) BERHIMPUN DENGAN BERTILAWAH AL-QUR’AN, BERZIKIR, BERSELAWAT, MEMBACA KISAH NABI DAN MENGADAKAN JAMUAN

1. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah: “Bersabda Rasulullah s.a.w: Tidak berhimpun suatu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid Allah, lalu mereka membaca Al-Qur’an dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat dan Allah menyebut tentang mereka di kalangan nabi dan malaikat di sisiNya”. (Sahih Muslim).
2. Bersabda Nabi s.a.w: “Tidaklah berhimpun suatu perhimpunan di dalam satu majlis lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari Qiamat.”
3. Firman Allah Ta’ala: “Kami ceritakan kepadamu setiap perkhabaran daripada kisah-kisah nabi yang menguatkan hati engkau dengannya dan datang kepada engkau di dalam perkhabaran ini, kebenaran, pengajaran dan peringatan bagi orang yang beriman.” (Hud:120).
4. Meriwayat Imam Ahmad dan Hakim daripada Syuaib, Nabi bersabda: “Seseorang yang terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makanan dan menjawab salam.” Hadis ini sahih sanadnya.
Meriwayat Turmizi, bahawa sahabat-sahabat Nabi tidak bersurai mereka daripada majlis tilawah Al-Qur’an dan berzikir, melainkan selepas menikmati jamuan.

3
II) SUNAT BERDIRI KETIKA DIBACAKAN KISAH KELAHIRAN BAGINDA SAW.

Disunatkan berdiri ketika dibacakan kisah kelahiran Nabi s.a.w kerana perbuatan berdiri menunjukkan di atas membesarkan baginda, termasuk di dalam nas Al-Qur’an yang kami sebutkan dahulu. Telah berdiri Imam Subki bersama-sama orang ramai di majlis Maulid ketika kisah kelahiran baginda dibacakan.Ulama’ Ahli Sunnah mengatakan sunat dan elok perbuatan ini.

Cara membesar dan memuliakan Nabi s.a.w semasa hayat baginda dan wafatnya, samada dengan hati atau lisan seperti berselawat, puji-pujian atau dengan perbuatan seperti berdiri. Telah disepakati pada adat orang ramai bahawa berdiri itu bertujuan membesarkan seseorang.

Adapun fatwa Al’Allamah Imam Abu Saud yang mengkafirkan mereka yang tidak berdiri ketika orang ramai berdiri pada majlis Maulid, sekiranya mereka meninggalkan berdiri kerana menghinakan Nabi s.a.w atau mengingkari hukum membesarkan baginda.

Berkata Imam Nawawi: “Disunatkan berdiri kepada orang yang hadir iaitu daripada ahli kelebihan dan kemuliaan, sesungguhnya datang hadis-hadis sebagai hujjah padanya…..”
1. Diriwayatkan daripada Said Al-Khudri, Nabi bersabda: “Berdirilah kamu kepada penghulu kamu” (iaitu Saad Ibnu Muaz yang hadir kepada sahabat), lalu ia datang dan duduk kepada Rasulullah s.a.w. (Riwayat Abu Daud). Perbuatan berdiri dalam hadis ini adalah kerana memuliakan Saad bukan kerana hendak menurunkan Saad yang sakit daripada tunggangannya. Jika berdiri kepada Saad disebabkan keuzurannya nescaya Nabi s.a.w berkata dengan lafaz, ‘berdirilah kepada orang yang sakit daripada kamu’ dan tidaklah perlu Nabi s.a.w menyuruh sekalian sahabat bahkan memadai seorang dua sahaja yang memapahnya.
2. Mengeluar Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a: ”Adalah Nabi bercakap dengan kami, apabila baginda berdiri, lalu kami pun berdiri kepadanya hingga kami melihat ia memasuki rumahnya.”

Adapun berdiri yang dilarang dalam beberapa hadis, adalah berdiri yang lahir daripada sifat takabbur atau larangan itu kerana tawaduk Nabi. Disunatkan berdiri tersebut semata-mata kerana perbuatan berdiri termasuk daripada membesarkan Nabi, samada hadir roh Nabi di dalam majlis Maulid ataupun tidak. Ketahuilah! Roh Nabi dan orang mukmin boleh pergi ke mana sahaja yang dikehendakinya dan harus dapat berjumpa dan melihatnya.
i) Sabit pada hadis sahih bahawa berhimpun Nabi s.a.w dengan para nabi
di Baitul Maqdis dan di langit pada kisah Isra’ dan Mikraj.
ii) Daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w melihat Nabi Musa dan Nabi Yunus menunaikan haji sambil mengucapkan talbiah.
iii) Di dalam Sahih Bukhari, bahawa sesetengah sahabat dilihat bersembahyang di dalam masjid selepas meninggal dunia.
iv) Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa melihatku di dalam mimpinya, nescaya ia akan melihat aku ketika jaga (tidak bermimpi) dan syaitan tidak boleh berupa dengan rupaku.” (Bukhari dan Muslim).

Berkata Imam Suyuti: “Bahawa Nabi s.a.w itu hidup dengan jasad dan roh, serta roh baginda berjalan ke mana sahaja yang dikehendakinya kepada segala tempat di muka bumi dan alam malakut…”

Meriwayat Imam Ahmad Tirmizi dan Ibnu Abi Dunia daripada Salman Al-Farisi: “Bahawa roh orang mukmin berada di barzakh di dalam dunia, boleh pergi ke mana-mana yang dikehendakinya.”

4
III) SUNAT MEMUJI NABI DENGAN SYAIR

Allah Ta’ala memuji penyair-penyair yang beriman dan mengasingkan mereka daripada kumpulan penyair yang dicela dengan firmanNya:
1. “…..Melainkan penyair-penyair yang beriman dan beramal soleh serta banyak menyebut Allah…….” (Assyua’ra:227)

Telah mentafsir Imam An-Nasafi: “Berzikir mengingati Allah dan bertilawah Al-Qur’an adalah menjadi kebiasaan bagi mereka daripada bersyair. Apabila mereka menyampaikan syair, mereka bersyair pada mentauhid dan memuji Allah, tentang ilmu, peringatan, zuhud, budi pekerti, memuji Rasulullah dan sahabat serta orang-orang soleh dan seumpamanya.”
2. Mengeluar Bukhari di dalam Al-Adab Al-Mufrad dan Thabarani di dalam Al-Ausath daripada hadis marfu’ Abdullah Ibnu Omar: “Syair itu menempati percakapan, maka syair yang baik seperti percakapan yang baik dan syair yang keji seperti percakapan yang keji ...”
3. Meriwayat Thabarani, bahawa ketika Nabi s.a.w memasuki Madinah sekembalinya daripada perang Tabuk, berkata Ibnu Abbas: “Ya Rasulullah! Adakah memberi keizinan kepada aku memuji engkau?” Bersabda Nabi: “Katakanlah! Tidak akan mensadur Allah mulut engkau.” lalu ia memuji baginda dengan qasidah syair …..”
Menyebut Mawardi di dalam Al-Hawi dan Ruyani di dalam Al-Bahri, bahawa syair terbahagi kepada haram, harus dan sunat. Syair yang disunatkan itu dua bahagian. Pertama, syair yang menakuti dan memperingati huru-hara akhirat. Kedua, syair yang menekankan budi pekerti yang baik. Di antara syair yang disunatkan ialah memuji para nabi, sahabat, ahli taqwa dan seumpamanya.
Adapun hadis yang berbunyi: “Janganlah kamu memuji aku sebagaimana orang Nasrani memuji Isa Ibnu Maryam”, dilarang memuji sehingga menganggap Nabi sebagai anak tuhan atau tuhan. Firman Allah Ta’ala: “Berkata orang Nasrani, Isa itu anak tuhan.”(At-Taubah:30). FirmanNya: “Sesungguhnya menjadi kafir mereka (Nasrani) yang berkata bahawa Allah tuhan yang ketiga daripada tiga tuhan.” (Al-Maidah:73).
Tidak menjadi kesalahan mengagungkan Nabi s.a.w. dengan melampau-lampau selagi tidak menganggapnya sebagai tuhan, kerana sabit dengan hadis-hadis sahih, di antaranya :

Meriwayat Bukhari bahawa Urwah Ibnu Mas’ud As-Saqafi menghadiri kepada Nabi s.a.w di dalam Perjanjian Hudaibiyah. Sekembali Urwah kepada kaumnya lalu berkata: “…Tidak pernah aku melihat seorang pun yang mengagungkan seseorang sebagaimana sahabat Muhammad mengagungkannya. Tidaklah Muhammad berludah satu ludahan, melainkan menyambut sahabatnya dengan tangan-tangan mereka, lalu melumurkan ke wajah mereka dan tidaklah ia berwuduk, melainkan mereka berebut-rebut kepada air wuduknya untuk mengambil berkat, sedangkan ia mengiktiraf dan tidak mengingkari perbuatan mereka itu dan mereka (sahabat) tidak menajamkan pandangan kepadanya.”
5
Telah ijma’ ulama’ pada harus berseru meminta pertolongan dan bertawassul dengan mengambil berkat Nabi s.a.w. Meriwayat Baihaqi dengan sanad yang sahih, daripada Malik Ad-Dar, berkata: “Telah menimpa musibah kemarau pada orang ramai di zaman Umar Al-Khattab, lalu datang seorang sahabat Nabi (Bilal Ibnu Haris Al-Muzani) ke kubur Nabi s.a.w. dan berseru: “Ya Rasulullah! Mintalah supaya diturunkan hujan bagi umatmu kerana sesungguhnya mereka itu sedang binasa.” Lalu hadir Rasulullah di dalam mimpinya dan baginda berkata: “Pergilah kepada Umar dan sampaikan salamku kepadanya…..”.

Dalam hadis ini, sahabat Nabi yang bertawassul itu telah memberitahu kepada sayyidina Umar tentang kisah tersebut, akan tetapi sayyidina Umar dan sahabat-sahabat yang lain tidak mengingkari perbuatannya itu.
Berkata As-Subki: “Elok bertawassul dan berseru meminta pertolongan dengan Nabi sebagai perantaraan kepada Tuhannya. Tidak seorangpun daripada salaf dan khalaf mengingkarinya, sehingga datang Ibnu Taimiyah mengingkari serta menyimpang daripada jalan yang sebenar lalu menghukum bid’ah perkara yang tidak dikatakan bid’ah oleh seorang alim sebelumnya, dan jadilah membid’ahkannya itu, sebagai perkara yang menakut-nakutkan umat Islam daripada mengerjakannya.”

TARIKH KELAHIRAN NABI S.A.W.

Telah berlaku perselisihan ulama’ pada menentukan tarikh kelahiran Nabi s.a.w kepada tujuh pendapat. Pendapat yang terlebih masyhur daripadanya:

1. Hari kelahiran baginda pada 12 Rabiulawwal iaitu pendapat Mohd Ibnu Ishaq Naisaburi dan lainnya. Berkata Ibnu Katsir: “Pendapat ini masyhur di sisi kebanyakan ulama’ dan dipegangi oleh ahli Makkah sejak dahulu hingga sekarang pada waktu menziarahi tempat kelahiran Nabi s.a.w. Mendakwa Ibnu Jauzi dan Ibnu Jazar dengan ijma’, iaitu ijma’ kebanyakan atau ijma’ perbuatan, kerana salaf dan khalaf bersepakat atas amalan Maulid dan menamakan hari kelahiran baginda pada hari tersebut di setiap negeri, sehinggakan di Makkah, tempat kelahirannya…”
2. Berkata kebanyakan Imam-Imam yang menghafal hadis iaitu ulama’ yang terdahulu dan lainnya, bahawa ianya hari ke-lapan Rabiulawwal.

Berkata Syeikh Yusuf Ibnu Ismail An-Nabhani: “Tetapi, pendapat yang pertama itu masyhur di sisi jumhur ulama’ dan ianya pendapat yang sahih, yang mana dipegangi oleh ulama’ salaf dan khalaf, maka di atas pendapat inilah yang dipegangi.”
Wallahua’lam ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan